GEORGE TOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih membantah projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang perlu melihat manfaat projek itu terutama dari segi pembangunan sosioekonomi terhadap rakyat bagi jangka panjang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut telah melalui pelbagai proses serta sesi libat urus yang lama dan kini tiba masa untuk pelaksanaannya.
“Projek ini telah melalui sesi libat urus dan lain-lain proses melibatkan pandangan awam dan saya percaya pihak NGO serta individu telah memberi maklum balas berkenaan projek ini.
“Jadi, kita harap NGO yang membantah dapat melihat projek ini secara keseluruhanya. Malah projek ini disokong oleh rakyat di mana dalam sesi libat urus sebelum ini, sokongan rakyat adalah lebih 90 peratus.
“Ini adalah masa untuk pelaksanaan dan sekiranya ada isu berkaitan, ia akan diuruskan oleh syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini mengumumkan kerajaan Pusat mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, NGO berkaitan alam sekitar seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa kesal apabila Kabinet tidak mempedulikan suara kumpulan masyarakat yang meminta agar kajian semula dilakukan terhadap cadangan projek berkenaan.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, ini kerana projek terbabit melibatkan kos amat tinggi selain anggaran penggunaan berlebihan manakala lokasi pembinaan depoh LRT juga menjadi perdebatan kerana didakwa akan merosakkan kawasan alam sekitar.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau sedar projek itu tidak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, ia adalah satu usaha dan permulaan untuk kerajaan negeri membantu rakyat yang saban hari terpaksa berdepan isu lalu lintas.
Dalam pada itu, dari segi kos projek yang didakwa terlalu tinggi, Kon Yeow menjelaskan, kos kira-kira RM10.5 bilion diambil kira daripada sistem dan reka bentuk tren yang digunakan dan ia akan ditentukan selepas permintaan untuk cadangan (RFP) dijalankan serta dimuktamadkan. – UTUSAN










