KEMAMAN: Seorang nelayan warganegara Thailand dikhuatiri lemas ketika keluar menangkap ikan di perairan Kemaman, di sini, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Abdullah Dueramee, 48, disedari hilang oleh rakannya, Muhammad Madiyoh, 57, kira-kira pukul 1.15 tengah hari, pada kedudukan 17 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Menurutnya, mangsa dan rakannya itu keluar menangkap ikan di perairan ini sejak Jumaat lalu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dikatakan terjun dari bot untuk membuang tali yang terbelit di bahagian kipas bot yang dinaiki mereka selepas mendapati bot itu mengalami kerosakan.
“Menurut rakannya, mangsa dilihat melakukan selaman seperti biasa dan mengambil nafas beberapa kali sebelum dia tidak lagi timbul di permukaan air.
“Rakan mangsa cuba memanggilnya, namun tiada sebarang jawapan. Dia kemudiannya bertindak menghubungi tekong bot laut dalam yang menaiki bot berasingan untuk meminta bantuan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ariffin berkata, pihak Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) di laut selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Kita telah menggerakkan bot Perkasa 49 ke lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemui dan tiada petanda positif setakat ini.
“Operasi carilamat nelayan tersebut diteruskan di perairan ini, pagi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ariffin turut menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan. – UTUSAN











