SEREMBAN: Hospital Pakar KPJ Seremban, semalam, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM300,000 semalam kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada Majlis Iftar Ukhuwah anjuran hospital tersebut di sini.
Pada majlis berkenaan, Hospital Pakar KPJ Seremban diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Aidil Ikram Muhamad yang menyerahkan zakat berkenaan kepada wakil MAINS iaitu Timbalan Setiausaha (Operasi), Datuk Nor Azmi Musa.
Nor Aidil Ikram sementara itu berkata, majlis berbuka puasa tersebut merupakan acara kemuncak bagi penutupan aktiviti sempena Ramadan oleh pihaknya.
“Pada majlis ini KPJ Seremban menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan dan juga duit raya buat anak-anak yatim dari pertubuhan tersebut
“Kami berbesar hati dapat meneruskan usaha kebajikan sosial dan memupuk kesejahteraan komuniti dalam rangkaian operasinya.
“Ini sejajar dengan matlamat KPJ Seremban untuk mengukuhkan kelestarian perniagaan kami melalui penjagaan kebajikan masyarakat dan membantu lebih ramai insan yang memerlukan,” katanya.
Yang hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.-UTUSAN.










