PETALING JAYA: Reman tujuh hari diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sepasang suami isteri warga tempatan selepas disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu.
Penahanan reman pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Akta Senjata 1960.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai reman dan penahanan kedua-dua suspek.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan pasangan itu di bazar Ramadan di Kuala Selangor, pukul 7.30 malam tadi.
Utusan Malaysia difahamkan, berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis kemudian menemukan sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.
Soal siasat terhadap pasangan berkenaan, mereka mengakui telah membeli senjata di Thailand diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel yang ditahan.










