Kedai serbaneka berdepan denda RM2 juta jual barang kawalan tanpa lesen - Utusan Malaysia

Kedai serbaneka berdepan denda RM2 juta jual barang kawalan tanpa lesen

BARANG kawalan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka di Kuala Kangsar Prima, Kuala Kangsar semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Kangsar, Prima di sini berdepan denda RM2 juta selepas dikesan menjual barang kawalan tanpa lesen.

Serbuan oleh anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak itu dijalankan pada pukul 11 pagi, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen runcit (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung.

Katanya, kesalahan tersebut dilakukan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berniaga barang kawalan tanpa lesen.

“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas barang kawalan gula, minyak masak, tepung, resit jualan dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai sitaan berjumlah RM200.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di premis tersebut mendapati mereka telah membuat tawaran jualan murah tanpa notis iaitu barang kawalan gula dan air tin bikarbonat.

Katanya, semakan awal mendapati kedai serbaneka itu tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari sempena pembukaan cawangan baru mereka.

“Berdasarkan aduan awam, kedai serbaneka itu menawarkan gula pada harga 10 sen sebungkus dan hanya terhad untuk 200 pelanggan pertama sempena perbukaan cawangan baru.

“Selain gula turut diadakan jualan murah adalah air tin berkabonat yang dijual dengan harga 99 sen di mana jualan murah itu bermula sejak 16 Mac lalu,” katanya.

Tambahnya, bagi kes itu, kesalahan dilakukan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019.

“Bagi kes tidak mengemukakan permohonan jualan murah, siasatan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×