8.79 juta rakyat sudah daftar PADU, bakal tepati sasaran

8.79 juta rakyat sudah daftar PADU, bakal tepati sasaran

MOHD. Uzir Mahidin bercakap kepada pemberita selepas meninjau proses pendaftaran sistem PADU di UTC Bandaraya Melaka, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 42 peratus atau 8.79 juta rakyat Malaysia dilaporkan sudah mendaftarkan diri mereka ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan dijangka akan terus mengalami peningkatan di saat akhir ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pihak kerajaan sudah menjangka akan berlakunya peningkatan jumlah pendaftaran yang memberangsangkan pada hari-hari akhir sebelum 31 Mac.

Menurutnya, kebanyakan negeri sudah mencapai lebih 40 peratus dari segi jumlah pendaftaran dan Perlis berjaya merekodkan jumlah rakyat mendaftar paling tinggi iaitu sebanyak 52 peratus.

“Di peringkat akhir ini, orang ramai sudah berusaha untuk mendaftar PADU secepat mungkin dan sekarang kita sedang mempertingkatkan komunikasi dan juga promosi di media sosial untuk membantu golongan yang perlu dibantu seperti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Golongan perlu dibantu ini tidak perlu hadir ke kaunter fizikal untuk tujuan pendaftaran PADU, hanya maklumkan dan kami akan hantar ‘flying squad’ untuk bantu mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Perangkaan Malaysia yakin semua negeri akan dapat melepasi 50 peratus rakyat yang layak mendaftar untuk sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang tarikh akhir berbuat demikian pada Ahad ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kerajaan turut ingin memastikan tidak berlaku kesesakan di kaunter fizikal yang disediakan pada Ahad ini.

“Mutakhir ini memang beratus-ratus orang beratur di sesuatu kaunter fizikal, walaupun kita bangunkan sistem kendiri tetapi masih ramai lagi mahu mendaftar di kaunter kerana seolah-olah jika mengisi sendiri macam tidak diisi.

“Kita sudah uar-uarkan semua kaunter fizikal pada hari Ahad ini secara rasmi akan ditutup pada pukul lima supaya orang tidak pulang dengan hampa selepas beratur. Namun, pendaftaran dalam talian akan beroperasi sehingga pukul 11.59 malam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ciri-ciri sebuah negara maju kelihatan di Malaysia selepas pelaksanaan sistem PADU.

“PADU telah menyaksikan satu penyertaan awam yang dramatik kepada polisi awam. Rakyat di seluruh negara melakukan keterlibatan dengan memberi pandangan dan sebagainya. Maksudnya orang ramai sensitif terhadap dasar-dasar awam, ini merupakan satu ciri negara maju.

“Jadi apabila kita sudah ciri tersebut, ia akan memberi kematangan kepada pelaksana polisi dan sebagainya. Maknanya kita boleh ambil perkara baik daripada perbincangan-perbincangan awam dan melakukan yang lebih baik.

“Ini sebenarnya kenapa negara maju boleh bawa negara mereka terus kedepan, mereka mempunyai rakyat yang boleh berbincang dan memberi pandangan secara terbuka,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×