PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan beliau tidak ada masalah peribadi dengan Rafizi Ramli walaupun kritikan berterusan dilemparkan kepada Menteri Ekonomi itu.
Mohd. Puad berkata, beliau hanya menunggu formula yang boleh dibanggakan daripada Rafizi sejak menggalas tanggungjawab sebagai menteri.
“Saya tidak ada isu peribadi dengan Rafizi. Saya hanya tunggu formula beliau menjadikan Malaysia kaya-raya. Saya tidak menghasut tetapi mengkritik,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan itu me ganggap kritikan Mohd Puad terhadap sistem PADU hanya pandangan bersifat peribadi.
Rafizi berkata, Mohd. Puad tidak puas hati dengan tindakannya yang lantang mengkritik isu syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ini.
“Yang bising sangat ini Puad Zarkashi sahaja, kalau Malaysia kaya-raya pun dia (tetap) tidak setuju dengan saya kerana dulu saya bawa isu 1MDB, ketika itu dia Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan selepas itu dia kalah pilihan raya dan terpelanting dari kerajaan,” katanya semasa sesi sidang media selepas majlis Pra Pelancaran KL20 Summit 2024 di Bangunan Parlimen, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, kritikan beliau terhadap Rafizi merupakan perkara yang sama dibuat oleh Timbalan Presiden PKR itu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Sedangkan itulah sikap dia masa Najib jadi Perdana Menteri, semua tidak betul. Najib mahu Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi, dia (Rafizi) pula kerja menghasut.
Sekarang dia tahu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu bagus. Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Lebuhraya Pan Borneo, cukai barang dan perkhidmatan (GST), Tun Razak Exchange (TRX), Rapid dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bawa manfaat kepada rakyat serta negara,” katanya. – UTUSAN










