Lelaki warga Myanmar, Bangladesh jadi dalang sindiket pekerja asing ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki warga Myanmar, Bangladesh jadi dalang sindiket pekerja asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kegiatan dua lelaki warga Myanmar dan Bangladesh menjadi dalang utama sindiket pekerja asing terbongkar selepas mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas di ibu negara semalam.

Hasil penahanan kedua-dua mereka yang berusia antara 50 hingga 52 tahun itu turut merampas wang tunai sebanyak RM91,550 bersama pasport Bangladesh dan senaskhah pasport Indonesia.

Turut dirampas adalah dokumen syarikat dan permohonan program RTK serta tiga unit telefon bimbit.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, modus operandi sindiket adalah dengan berperanan sebagai ejen pekerja asing bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) dengan menyasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di pejabat imigresen.

“Kegiatan yang dijalankan sejak setahun lalu itu telah mengenakan bayaran bagi setiap pekerja asing ini antara RM1,500 hingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ruslin, semakan awal mendapati lelaki Myanmar itu berstatus Pemastautin Tetap (PR) manakala lelaki Bangladesh itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Sektor Perkhidmatan yang masih sah laku.

Kata beliau, kedua-dua mereka juga sudah berkahwin dengan warga tempatan.

“Mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Tiga individu tempatan juga diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×