PETALING JAYA: Tindak tanduk sesetengah pihak yang suka menukar kerajaan menjadi punca negeri itu jauh ketinggalan dari segi pembangunan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penukaran itu menyebabkan kerajaan yang dipilih tidak sempat melaksanakan pembangunan dan dasar yang mapan untuk masyarakat, ditambah pula dengan sikap pemimpin yang suka bermain politik.
Kesannya, Sabah tertinggal jauh berbanding negeri-negeri lain dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dilaksanakan sebanyak 16 kali.
“Di Sabah sudah sudah ada 16 PRN, Sarawak sudah melaksanakan 12 PRN, di peringkat persekutuan pula sudah melaksanakan 15 kali Pilihan Raya Umum (PRU).
“Rakyat Sabah suka tukar kerajaan, pemimpin yang dipilih pula suka bermain politik, bila negara mahu maju?” soalnya ketika dihubungi, semalam.
Pada PRN Ke-16, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada PRN Sabah Ke-16.
PN memenangi 17 kerusi manakala BN memenangi 13 kerusi dan PBS, lapan, sekali gus membolehkannya merampas kerajaan negeri daripada WARISAN Plus yang memperoleh 26 kerusi.
“Saya berharap masalah penukaran kerajaan ini tidak akan berlaku lagi bagi mengimbangi ekonomi negara. Masyarakat perlu memilih kerajaan yang bertanggungjawab.
“Setakat ini kita nampak ada perubahan yang dibuat di bandar khususnya tentang pembangunan. Kita dah buat penyusunan semula sejak enam bulan lalu dan kini kita berada di Pitas dan Bangkoka yang tidak menikmati bekalan air yang bersih sejak merdeka.
“Ia melibatkan 36 kampung dengan jumlah masyarakatnya 30,000 orang, jadi kita akan minta peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan perkara ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Sabah masih ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan Semenanjung.
Berikutan itu, kata Perdana Menteri, kerajaan menekankan layanan adil dalam pembentukan dan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan memperuntukkan sumber kewangan saksama dalam pembangunan negeri ini. – UTUSAN ONLINE










