PETALING JAYA: Perselisihan faham berkaitan tapak bazar Ramadan di Taman Medan menyebabkan dua peniaga bertengkar sebelum bertukar kecoh dan berlaku pergaduhan sesama mereka.
Dalam kejadian pada selasa lalu berlaku selepas seorang wanita berniaga jus tembikai berselisih faham dengan seorang lelaki menjalankan perniagaan popia.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, lelaki terbabit tidak berpuas hati selepas wanita terbabit dikatakan masuk ke kawasan tapak berniaganya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.
“Lelaki itu kemudian mengambil sebatang besi sebelum memukul mangsa menyebabkan berlaku kekecohan.
“Mereka kemudian dibawa ke balai polis sebelum kedua-duanya ingin menyelesaikan secara baik kerana sudah lama kenal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrulnizam berkata, meskipun telah diselesaikan secara baik, namun anak kepada lelaki terbabit masih tidak berpuas hati sebelum menyerang anak saudara wanita terbabit kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
“Susulan itu, kita menahan kesemua mereka terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 20-an hingga 40-an.
“Mereka direman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan kerana merusuh mengikut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










