APMM tahan dua kapal tangki pindah minyak tanpa kebenaran

APMM tahan dua kapal tangki pindah minyak tanpa kebenaran

DUA kapal tangki ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti STS tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal tangki yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, pusat operasi menerima maklumat terdapat aktiviti mencurigakan di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.

Kata beliau, bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Murni, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut telah diatur gerak ke kawasan dilaporkan dan melihat dua kapal merapat antara satu sama lain disyaki melakukan aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah kepada sebuah kapal tangki lain tanpa sebarang dokumen kebenaran untuk menjalankan aktiviti terbabit.

“Kapal tangki pertama sepanjang 60 meter berdaftar di Panama dikendalikan oleh 26 kru termasuk nakhoda membabitkan warga China seramai 16 orang, Sri Lanka (empat) dan Myanmar (enam).

“Kapal tangki kedua sepanjang 43 meter didaftarkan di Palau dikendalikan oleh 22 kru termasuk nakhoda membabitkan 19 warga Rusia manakala tiga lagi masing- masing dari Georgia, Latvia dan Indonesia,” katanya kepada pemberita.

Tambah Mohd. Khairi, kedua-dua kapal ditahan kira-kira pukul 4.30 petang dan 6 petang untuk disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut dan 491B (1) (L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi Seksyen 491B (1) (K) OPS 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×