PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UMNO yang dilihat hampir pasti menjalinkan kerjasama mampu memberi cabaran yang besar kepada kerajaan sedia ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang khususnya di kawasan majoriti pengundi beragama Islam.
Penganalisis politik, Tony Paridi Pagang berkata, kerjasama Warisan-UMNO itu dilihat bakal menggabungkan kekuatan antara kedua-dua parti tersebut di kawasan-kawasan yang mempunyai sokongan kuat akar umbi
“Kerjasama Warisan-UMNO ini akan menggabungkan kekuatan parti masing-masing di kawasan-kawasan di mana mereka mempunyai sokongan kuat akar umbi.
“Secara langsung ia akan mewujudkan sinergi politik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.” kata Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kerjasama UMNO Sabah dan Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir pasti apabila didakwa kedua-dua pemimpin tertinggi itu sudah beberapa kali mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan, siri pertemuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sangat positif.
Dalam pada itu, Tony juga berkata, kedua-dua parti tersebut bakal berhadapan cabaran besar seperti pengagihan kerusi yang akan dipertandingkan selain perlu ada kompromi antara kedua-dua pihak bagi mengelakkan ketidakpuasan hati calon.
Pada 19 Mac lalu, Mohd. Shafie menyatakan kesediaan Warisan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah walaupun pernah disingkirkan daripada bekas partinya itu pada 2016.
Sabah dijadual mengadakan PRN pada 2025 walaupun terdapat jangkaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin mengadakan pilihan raya dalam tahun ini. –UTUSAN










