KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia memberikan kerjasama dalam soal pengambilan tanah sekiranya jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, proses tersebut akan membantu melancarkan pembinaan projek tersebut.
“Untuk makluman, Kelantan merupakan negeri yang paling mudah dan cepat melibatkan proses pengambilan tanah bagi menjayakan pembinaan ERCL,” katanya pemberita selepas Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri UPKN) Kelantan dan Media Bersama Kepimpinan Penghayatan Membangunan Bersama Islam (PMBI) di sini malam tadi.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, sekiranya perkara itu direalisasikan ia mampu memberikan impak yang baik untuk perkembangan ekonomi negeri.
“Kerana Kelantan dekat dengan Thailand. Kalau kita sambung ke Rantau Panjang, ia memudahkan warga Thai untuk menggunakan ECRL.
“Jadi menguntungkan negara kita,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Malaysia Rail Link (MRL) mengesahkan Kementerian Pengangkutan sedang melaksana kajian berkait titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sri Darwis Abdul Razak bagaimanapun berkata, sebarang perkembangan lanjut berkait dengan perkara tersebut akan umumkan oleh Menteri pada masa yang sesuai nanti.
Projek melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027.
Apabila siap nanti, projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di negeri-negeri di pantai timur khususnya Kelantan yang dianggap terpisah daripada pertumbuhan pesat di Lembah Klang.-UTUSAN










