JAKARTA: Tentera Indonesia membuat permohonan maaf dan mengesahkan penahanan 13 anggotanya berikutan kontroversi video tular yang menunjukkan seorang lelaki diseksa oleh tentera di wilayah Papua di negara itu.
Rakaman video menunjukkan seorang lelaki Papua dengan tangannya diikat dalam dram keluli berisi air menggigil selepas dikelar menggunakan pisau tempur, mencetuskan bantahan di media sosial Indonesia.
Pegawai kanan tentera Indonesia di Papua, Izak Pangemanan mengesahkan rakaman tersebut adalah sahih dan kejadian itu berlaku pada Februari lalu.
“Tindakan ini bertentangan dengan undang-undang, mencemarkan nama tentera dan mengganggu usaha menangani konflik di Papua. Seramai 13 anggota tentera yang ditahan termasuk beberapa yang lain masih dalam siasatan.
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Papua dan kami akan berusaha untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita.
Izak berkata, lelaki dalam video itu adalah seorang anggota kumpulan pemisah yang merancang untuk membakar sebuah pusat kesihatan di Papua Tengah bersama dua rakannya, dan dia sudah dibebaskan selepas kejadian itu.
Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International yang mengumpul bukti keganasan di Papua mendakwa lelaki itu meninggal dunia dan meminta pegawai tentera berpangkat tinggi bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Papua yang terletak di wilayah paling timur, berdepan keganasan antara puak pemisah bersenjata dan tentera sejak dikuasai Indonesia dalam undian yang diawasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1969.
Konflik meningkat dengan ketara sejak 2018 apabila pejuang pro-kemerdekaan melancarkan serangan berbahaya, sebahagian besarnya kerana mereka berjaya mendapatkan senjata yang lebih canggih.
Dalam beberapa insiden pertempuran terbaharu, pasukan keselamatan berkata, kumpulan pemisah membunuh ramai anggota polis dan tentera.-REUTERS











