Air Kelantan: Pengguna boleh tunggu tapi jangan cakap ‘kosong’

Air Kelantan: Pengguna boleh tunggu tapi jangan cakap ‘kosong’

SYARIKAT Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sudah menggerakkan pelan tindakan persiapan menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan bekalan air dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini sepanjang tempoh tersebut.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat negeri ini mengakui mereka masih boleh bersabar untuk tempoh tiga tahun lagi bagi mendapat bekalan air bersih sebagaimanan jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Kelantan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengguna, Wan Saiful Azwal Wan Mohamad, 38, bagaimanapun berkata, dia berharap jaminan itu bukan cakap kosong dalam meredakan kemarahan rakyat.

“Berpuluh-puluh tahun saya boleh tunggu, apalah sangat untuk tempoh tiga tahun lagi. Cuma,..saya harap projek menaik taraf bekalan air di negeri ini berjalan ikut jadual dan masa.

“Sebagai pengguna, saya tidak lagi mahu mendengar sebarang alasan lagi sekiranya masalah gagal diselesaikan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Wan Saiful Azwal membe­ritahu, jika masalah tersebut gagal diselesaikan sebagaimana yang dijanjikan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Katanya, ini kerana sudah lama rakyat Kelantan menderita akibat ketiadaan bekalan air bersih yang cukup walaupun terpaksa membayar ‘bil angin’.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Yunus, 50, berharap apa yang diumumkan itu bukan bersifat janji-janji manis.

Katanya, rakyat Kelantan sudah muak dengan janji-janji manis tanpa sebarang penyelesaian yang konkrit dalam mengatasinya.

“Ketika ini majoriti rakyat Kelantan bergantung sepenuhnya kepada pengguna telaga dan telaga tiub yang digali untuk dijadikan sebagai sumber utama.

“Berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan memberi kepercayaan untuk mentadbir negeri, jadi laksanakanlah amanah dan janji itu,” ujarnya.

Tegasnya, selepas ini dia berharap tiada lagi alasan-alasan baharu yang cipta untuk menutup kelemahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan memberi jaminan masalah air yang menghantui penduduk di negeri ini lebih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada tahun 2027. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×