JASIN: Melaka dalam proses mewujudkan projek ladang bawang yang bakal melibatkan golongan asnaf, khusus untuk membantu kelompok berkenaan mempertingkatkan ekonomi mereka seterusnya keluar daripada paras pendapatan garis kemiskinan (PGK).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri menyasarkan penglibatan 50 peserta yang terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Ujarnya, ladang bawang yang dijangka dibuka pada Januari 2025 itu juga dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) bawang negara yang masih terlalu rendah.
“Syaratnya, asnaf ini mestilah berusia bawah 50 tahun yang masih sihat supaya boleh mengikuti latihan pertanian percuma dari mula sampai akhir sehingga dapat menuai bawang sendiri.
“Modal mereka cuma kudrat kerana semua perbelanjaan awal akan diuruskan Pertubuhan Peladang dan agensi pelaksana lain termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diwajibkan membeli semua hasil tanaman itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Parlimen Jasin di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa bidang tanah terbiar termasuk mengguna pakai lokasi-lokasi pencawang bagi merealisasikan inisiatif itu.
Katanya, permohonan peruntukan telah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang memaklumkan, mempunyai bajet di bawah Pertubuhan Peladang.
“Fokus utama kita adalah untuk mengurangkan bilangan asnaf di negeri ini, sebagai contoh hari ini ada 308 asnaf, mungkin tahun depan berkurang kepada 200 orang kerana ramai yang sudah melepasi paras PGK,” jelasnya. – UTUSAN










