PETALING JAYA: Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menunjukkan peningkatan yang mendadak sepanjang minggu lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, setakat 11.59 malam pada 24 Mac lalu, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta daripada 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lalu.
“Daripada jumlah pendaftaran terkini, kadar pendaftaran dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas telah mencecah 35.1 peratus.
“Kami optimis angka ini akan terus meningkat, berpotensi mencapai atau bahkan melebihi 50 peratus menjelang tarikh akhir 31 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berpesan kepada orang ramai agar tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mendaftar.
“Dengan tarikh tutup yang semakin hampir, kami menjangkakan pendaftaran harian akan terus meningkat dengan ketara.
“Daftar dan kemas kini data anda ke dalam PADU sebelum 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan,” jelasnya. – UTUSAN











