Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM3.06 juta untuk tujuan Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang diagihkan melalui kariah-kariah masjid seluruh negeri Perlis sepanjang tahun 2024.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif MAIPs dalam usaha mempertingkatkan lagi keselesaan golongan sasar yang melibatkan isu-isu baikpulih kecil kediaman yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kariah Masjid selari dengan Pelan Strategik MAIPs 2021-2025.
Simbolik peruntukan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Iftar Jamaie MAIPs bagi meraikan Ahli-Ahli Jawatankuasanya di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam majlis yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk mengurniakan sendiri Tauliah Pelantikan bagi sesi 2024/2025 iaitu bermula 1 Januari 2024 sehingga 1 Disember 2025.
Antara yang menerima adalah Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs yang terdiri daripada Ahli Majlis, Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis, Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan, Jawatankuasa Pembangunan dan Pengukuhan Inisiatif, Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan, Jawatankuasa Pengurusan Zakat, Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, Sumber Am dan Tebus Pusaka, Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Agama Islam, Jawatankuasa Pembangunan Ummah Dan Risalah, Ahli Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. serta Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd.
Majlis dimulai dengan taklimat berkaitan Peluang-peluang Pelaburan di Perlis oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Dr. Puteh Soraya A Rahman dan Taklimat Pencapaian MAIPs Tahun 2023 oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor diikuti majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih.
Mohd. Nazim berkata, dalam menjayakan agendanya yang ulung, MAIPs menggariskan Pelan Strategik 2021-2025 dan mewujudkan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 untuk memandu pengurusan MAIPs menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya.
Katanya, semua kerja yang dilaksanakan sentiasa mendapat nasihat dan saranan oleh ahli majlis dan jawatankuasa di bawah MAIPs.
Menyoroti sejarah penubuhannya, pelbagai inisiatif diusahakan MAIPs dari dahulu sehingga kini demi memastikan syiar Islam dan kemajuan sosial Umat Islam di Perlis sentiasa diperteguhkan.
Dalam majlis yang sama turut diadakan Podcast Khas bertajuk ‘Ramadan Yang Menginsafkan’ yang disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle. – UTUSAN










