SHAH ALAM: Bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, mendedahkan, anak bongsunya, Umar, berulangkali meluahkan perasaan rindu kehadiran seorang bapa dalam hidupnya.
Menurut Shuhada, antara ayat yang selalu terbit dari mulut anaknya berbunyi seperti ‘Ibu, belilah abah robot di Shopee’.
Kata Shuhada, dia enggan anaknya terasa kekurangan kasih sayang seorang bapa justeru berharap supaya Hafidz dapat memberikan komitmen dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Saya harapkan komitmen dia sebab anak-anak dia juga. Saya nak anak-anak saya rasa mereka ada juga abah walaupun tak sama macam orang lain. Sekurang-kurangnya, mereka rasa kehadiran seorang abah.
“Umar asyik cakap suruh beli robot abah. Jenuh saya nak cari. Saya tak mahu dia ada perasaan begitu. Saya nak kita sama-sama bagi anak tak rasa kurang kasih sayang itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Tambah Shuhada, Umar juga pernah meminta untuk ‘meminjam’ ayah daripada sepupunya.
“Humairah dah jadi macam saya, dah mula tak kisah sebab dah mula membesar. Umar mungkin sebab dia masih kecil, jadi dia tengok sepupu-sepupunya ada ayah, dia macam teringin nak ada ayah.
“Pernah juga dia pergi kepada sepupu dia dan cakap nak pinjam ayah dia. Kesianlah dekat anak-anak, kan. Kalau bercakap mengenai anak-anak, saya sensitif sikitlah,” katanya.
Ditanya sama ada Hafidz ada menghubungi anak-anaknya, Shuhada berkata, Hafidz ada membuat panggilan video semalam.
“Saya tak dengar perbualan mereka sebab saya nak mereka ada privasi untuk bercakap dengan ayah mereka. Tapi, mungkin hal yang saya sempat terdengar, Humairah minta benda yang paling mahal sekali sebab dah sangat lama. Mungkin anak-anak ada minta sesuatu dekat dia kot,” katanya.
Ditanya mengenai nafkah kepada anak-anak, Shuhada memaklumkan nilainya sudah ditambah, namun ada ketikanya Hafidz culas.
“Baru naik sikit (jumlah nafkah), RM200 seorang anak daripada RM100 untuk seorang anak sebelum ini. Bukanlah setiap bulan, sebab ada ketikanya dia culas juga.
“Saya tak boleh bergantung kepada ibu bapa saya sepenuhnya sebab mereka pun dah bersara. Mereka sama-sama bantu jaga anak saya pun alhamdulillah,” katanya.
Shuhada dan Hafidz berumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Humairah dan Umar sebelum sah bercerai dengan talak satu pada 27 Julai lalu.











