KANGAR: Kes jenayah seksual kanak-kanak bawah umur dan komersial merupakan antara kesalahan popular di negeri ini dan akan diberi penekanan secara lebih serius oleh polis selepas ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, bagi kesalahan seksual kanak-kanak bawah umur, kebanyakan kes jenayah itu dikenal pasti berlaku di kawasan-kawasan luar bandar.
Beliau berkata, berdasarkan kajian bermula sejak tahun 2019 sehingga 2023, terdapat peningkatan kes seksual kanak-kanak bawah umur di mana kategori tertinggi adalah berusia antara 13-18 tahun.
“Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kejadian tersebut antara terpedaya dengan kenalan menerusi laman sosial sehinggalah mereka mengadakan hubungan secara fizikal malah ada yang turut mengandung,” katanya selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 Peringkat Kontinjen Perlis di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Pada majlis tersebut, Muhammad berkesempatan meraikan rakan-rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan agensi kerajaan yang membantu dalam pencegahan jenayah di Perlis.
Malah, beberapa anggota polis yang berbakti kepada masyarakat pada tahun ini bersama 17 orang pengamal media di Perlis turut menerima sijil penghargaan daripada PDRM pada majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, bagi menangani isu itu, PDRM telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi memberi penerangan kepada murid di semua peringkat berhubung kesalahan jenayah seksual bawah umur ini.
“Untuk kes jenayah seksual kanak-kanak bawah umur ini juga menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu susulan daripada kempen-kempen yang telah dilaksanakan bagi menangani isu itu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad berkata, kes komersial di negeri ini juga akan diberi perhatian sewajarnya oleh polis berikutan berdasarkan statistik direkodkan pada setiap bulan, terdapat mangsa yang dilaporkan terjerat dengan penipuan tersebut.
Beliau berkata, pada bulan Januari lepas, sebanyak 45 kes komersial direkodkan di Perlis dan situasi itu memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa.
“Selepas kita menjalankan kempen bagi menangani isu ini, purata kes yang direkodkan kini adalah sekitar 20 kes sebulan dan menunjukkan penurunan,” katanya.-UTUSAN











