PONTIAN: Walaupun dibayangi dengan pelbagai jenis kuih dan biskut moden, permintaan terhadap kerepek pisang dan rempeyek pada musim perayaan tetap tinggi.
Seorang pengusaha, Juliani Ahmad, 49, berkata, permintaan bagi kedua-dua makanan ringan tersebut bertambah berbanding pada hari-hari biasa kerana pelanggan mula membuat tempahan sejak dua bulan sebelum ketibaan Ramadan.
Dia yang mewarisi perusahaan itu daripada ibunya, Wagarah Taib, 72, yang kini uzur, tidak mampu menolak tempahan daripada rakan-rakan yang pernah bekerja di tempat sama sebelum ini mahupun penduduk sekitar.
Juliani menggunakan pisang tanduk sebagai bahan utama bagi pembuatan kerepek pisang berbanding pisang nipah berikutan permintaan tinggi bagi pisang tersebut.
“Bekalan pisang tanduk tiada masalah, banyak pekebun di sekitar Sanglang, Ayer Baloi dan Benut sedia menjual pisang mereka dengan harga RM6.50 sekilogram (kg). Saya perlukan antara 350 hingga 450kg bagi menyiapkan kira-kira 3,000 bungkusan kerepek seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Jawa, Sanglang, dekat sini.
Juliani masih mengekalkan harga lama, iaitu RM17 bagi setengah kilogram kerepek pisang, manakala bagi satu kilogram dijual pada harga RM34 walaupun ada pengusaha lain yang menjualnya dengan harga RM20 bagi setengah kilogram atau RM40 sekilogram.
Mengenai rempeyek, Juliani menjual tiga jenis, iaitu rempeyek kacang hijau, kacang putih dan kacang tanah dengan harga jualan RM15 bagi setengah kilogram dan RM30 bagi satu kilogram. –UTUSAN










