Jabatan Penjara sasar jualan kuih raya cecah RM2.2 juta

Jabatan Penjara sasar jualan kuih raya cecah RM2.2 juta

TENGKU Maimun Tuan Mat melihat seni tenunan kraf tangan semasa melawat pameran pada Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan hasil jualan kuih raya diusahakan para penghuni di institusi itu mampu mencecah angka lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Malah Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak yakin dapat meraih RM2.2 juta sepanjang Ramadan pada kali ini.

“Saya terkejut apabila lihat sambutan hangat ke atas produk tersebut kerana tahun lalu, kita hanya merekodkan nilai jualan kira-kira RM1.9 juta,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau menyaksikan perasmian Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia di Istana Kehakiman yang disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah agensi berkenaan, Datuk Nordin Muhamad dan program selama tiga hari itu mempamerkan produk keluaran penghuni dari lebih 10 buah penjara.

Ini termasuk jualan kra tangan serta pakaian batik, songket dan busana eksklusif keluaran Tenunan Pahang Diraja yang dihasilkan oleh para penghuni di Penjara Bentong, Pahang.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan terus memperkasakan bidang latihan vokasional dan industri melibatkan kesemua 43 buah institusi penjara di seluruh negara.

“Setiap penjara ada kelebihan tersendiri, contohnya Pantai Timur fokus kepada produk fabrik manakala Pantai Barat menumpukan kepada makanan seperti kuih raya,” katanya.

Siri latihan berkenaan ujarnya, dilaksanakan secara bermodul dengan paling lama boleh hingga setahun enam bulan sementara jangka paling singkat kira-kira tiga bulan sahaja.

Pendekatan berkenaan jelas beliau, bukan sekadar mengisi masa lapang para penghuni dengan aktiviti kemahiran berfaedah, malahan boleh dianggap bentuk terapi pemulihan.

Produk terlibat tambahnya, tidak sahaja dijual di premis dalam penjara selain siri jerayawara, bahkan boleh dibeli cukup mudah atas talian dengan caj penghantaran yang rendah.

Abdul Aziz memberikan contoh kuih tart nanas dihasilkan para penghuni Penjara Wanita Kajang, Selangor dan Pengkalan Chepa, Kelantan yang menerima sambutan amat baik.

“Nanas digunakan memang ditanam sendiri dalam kawasan penjara daripada baka terbaik dengan jem yang digunakan untuk kuih ini juga dibuat oleh penghuni terlibat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×