PARLIMEN: Penjara Malaysia sesak, tampung lebihan 8,720 banduan

PARLIMEN: Penjara Malaysia sesak, tampung lebihan 8,720 banduan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjara di seluruh negara kini berdepan isu kesesakan apabila jumlah banduan yang ditempatkan melebihi kapasiti sebenar penjara sebanyak 8,720 orang atau 11.62 peratus.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga 8 Jun 2026, jumlah keseluruhan banduan di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia adalah seramai 89,982 orang.

Daripada jumlah itu, katanya lagi, seramai 83,771 orang atau 93.1 peratus berada dalam fasiliti penjara manakala 6,211 orang lagi atau 6.9 peratus sedang menjalani program pemulihan dalam komuniti.

“Berdasarkan jumlah banduan semasa seramai 83,771 orang, penjara kini menampung lebihan seramai 8,720 orang (11.62%) melebihi kapasiti yang ditetapkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa terdapat isu kesesakan di beberapa institusi penjara di seluruh negara.

“Bagi menangani isu tersebut, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Penjara telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah strategik, termasuk memperkukuh inisiatif sedia ada serta melaksanakan penambahbaikan dasar dan perundangan yang berkaitan,’ katanya dalam jawapan bertulis di laman web portal Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) meminta kementerian menyatakan jumlah banduan di kesemua penjara di Malaysia dan sama ada jumlah tersebut menunjukkan terdapatnya masalah kesesakan banduan di penjara sekarang.

Mengulas lanjut, katanya lagi antara langkah strategik yang dibuat bagi menangani masalah tersebut adalah memperkasakan program Pemulihan Dalam Komuniti seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

“Pertama, memperkasakan program Pemulihan Dalam Komuniti seperti Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) bagi membolehkan banduan yang layak menjalani pemulihan di luar penjara secara terkawal dan dipantau.

“Pendekatan ini membantu mengurangkan tekanan terhadap kapasiti penjara di samping menyokong proses integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.

“Kedua, melaksanakan pindaan kepada Akta Kehadiran Wajib PesalahPesalah yang membolehkan pesalah yang dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dipertimbangkan untuk menjalani hukuman melalui PKW, berbanding had tiga tahun sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, mengoperasikan Pusat Koreksional Chenderiang, Perak bagi menempatkan pesalah dadah yang disabitkan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 secara berasingan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kapasiti di institusi penjara sedia ada serta meningkatkan keberkesanan program rawatan dan pemulihan.

Selain itu, KDN turut memperluas pelaksanaan Program Plead Guilty (PG) dengan kerjasama Mahkamah, Jabatan Bantuan Guaman dan Biro Bantuan Guaman bagi mempercepatkan penyelesaian kes melibatkan Orang Kena Tuduh (OKT) yang memilih untuk mengaku salah mengikut peruntukan undang-undang.

Di samping itu, kerajaan juga sedang meneliti cadangan penambahbaikan perundangan melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah khusus kepada banduan reman tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Mahkamah.

“Kerajaan terus komited untuk memperkukuh pendekatan pemulihan, memperluas pelaksanaan hukuman alternatif yang bersesuaian dan meningkatkan kecekapan pengurusan penghuni penjara bagi memastikan sistem koreksional negara kekal cekap dan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN