RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 lulus

Parlimen: RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 lulus

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Individu disabitkan kesalahan berkaitan pencemaran bakal berdepan denda sehingga RM10 juta atau tempoh pemenjaraan lebih lama.

Ia merupakan perkembangan terbaharu berbanding peruntukan sedia ada dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 bagi meminda 28 seksyen dalam Akta 127.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pesalah berdepan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, kadar kompaun ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

“RUU ini menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan membabitkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia serta pelupusan haram buangan terjadual.

“Selain itu, penjara mandatori maksimum lima tahun bagi kesalahan membabitkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya

Terdahulu, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan 13 wakil kerajaan dan pembangkang dan keputusan tersebut diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Nik Nazmi dalam masa yang sama yakin pindaan itu akan memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang, selain mendidik pihak industri dan masyarakat melestarikan alam sekitar.

“Ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah sebagai isyarat keseriusan kerajaan membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di negara ini.

“Kementerian sentiasa komited memuktamadkan RUU ini sebagai antara usaha memperkasa aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang menjadi tanggungjawab bersama.

“Fasa kedua pindaan akta ini pula akan berbentuk substantif, menjurus kepada isu yang akan timbul berkaitan tadbir urus alam sekitar. Antaranya, mekanisme mengarus perdana alam sekitar, amalan industri hijau dan keperluan laporan Kelestarian Alam Sekitar oleh premis industri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini