GEORGE TOWN : Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperuntukkan sehingga RM5 bilion bagi melaksanakan Pelan Strategik 2024-2028 yang berpaksikan inovasi tanah, inovasi aset, kelestarian perniagaan dan profesional pintar (LABS).
Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, teras utama Pelan Strategik 2024-2028 itu ialah untuk meningkatkan bank tanah yang strategik selain mengoptima penggunaaan tanah-tanah sedia ada dengan projek-projek berimpak tinggi bagi tujuan perindustrian, komersial dan kediaman berkualiti tinggi.
“Tumpuan utama kita ialah untuk menambah bank tanah PDC kerana sehingga tahun 2030 kita jangkakan bank tanah PDC akan habis dibangunkan sepenuhnya dan kita perlu gerakkan usaha dari sekarang untuk menambah bank tanah PDC.
“Justeru, secara keseluruhannya, PDC memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk melaksanakan Pelan Strategik 2024-2028 dan RM3 bilion pula diperuntukkan untuk menambah 1,214 hektar lagi bank tanah PDC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Pelan Strategik PDC 2024-2028, Inisiatif Kelestarian dan PDC GoDigital di sini yang disempurnakan pelancarannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, lokasi bank-bank tanah PDC itu ketika ini masih dikaji sama ada di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) atau Seberang Perai Selatan (SPS).
“Cadangan bank tanah ini ialah untuk pembukaan taman perindustrian baharu bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi Pulau Pinang. Selain itu, PDC juga merancang untuk menambah bank tanah menerusi kaedah tebus guna tanah,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, selaras dengan perkembangan sektor perindustrian, PDC turut memberi fokus kepada pembangunan hab logistik dan taman pengedaran atau ‘distribution park’.
“Dalam hal ini, PDC merancang untuk membangunkan hab logistik dan taman pengedaran seluas 32.3 hektar di kawasan bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di kawasan Batu Maung, dan pembangunan hab logistik di Taman Perindustrian Batu Kawan, Bandar Cassia iaitu seluas 9.95 hektar.
“Kedua-dua lokasi ini dikenal pasti sebagai pusat pengagihan secara langsung yang meliputi pengangkutan udara dan darat. Di samping itu, ia juga mampu melengkapi kemudahan di antara industri sekitar dengan nilai tambah ekosistem sedia ada yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, Aziz menambah, PDC juga sedang giat memajukan pembinaan kuarters pekerja asing di mana PDC telah melancarkan empat projek kuartes pekerja asing.
“Satu projek pembangunan kuarters pekerja asing ini dibangunkan oleh PDC sendiri manakala tiga lagi (projek) dibangunkan oleh pihak swasta.
“Pembangunan kuarters pekerja asing ini penting untuk kita mengalakkan lagi pelabur datang melabur ke negeri ini memandangkan semua kelengkapan infrastruktur telah kita sediakan untuk mereka termasuk tenaga kerja,” katanya.-UTUSAN










