Cermin kereta ADUN Indera Kayangan pecah dibaling bata

Cermin kereta ADUN Indera Kayangan pecah dibaling bata

GAN Ay Ling menunjukkan keadaan cermin hadapan kenderaan yang pecah akibat dibaling bata dalam kejadian di kediamannya di Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berdepan detik cemas apabila kenderaan miliknya yang diparkir dalam kawasan rumah di sini dibaling bata dalam kejadian hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.40 pagi itu, cermin hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik Ay Ling pecah akibat kesan daripada bata tersebut.

Menurut Ay Ling, sewaktu kejadian, dia sedang menyiapkan kerja di dalam rumahnya sebelum digemparkan dengan bunyi seolah-olah letupan dari arah tempat parkir kenderaan miliknya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas mendengar bunyi itu, saya tidak terus keluar dan mengambil masa beberapa minit sebelum meninjau keadaan di luar rumah.

“Apabila saya keluar, saya terlihat kelibat sebuah motosikal namun tidak dapat dipastikan berapa orang yang menaiki motosikal itu berikutan keadaan gelap,” katanya ketika ditemui di kediamannya sekitar Kangar, hari ini.

Susulan kejadian itu, Ay Ling berkata, beliau turut tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada pukul 9 pagi bagi membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau juga mengesyaki bata itu sememangnya sengaja dibaling pada kenderaan miliknya namun tidak dapat dipastikan punca tindakan tersebut.

“Saya pun tidak dapat pastikan tindakan ini bermotif apa namun memang dapat dilihat bata itu seperti sengaja dibaling ke arah cermin kereta saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan mengenai kejadian itu dan laporan polis turut dibuat oleh mangsa terlibat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×