Keselamatan negara baik, terkawal tahun lalu- KPN

Keselamatan negara baik, terkawal tahun lalu- KPN

RAZARUDIN Husain berucap dalam sambutan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, semalam. -IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan situasi keselamatan negara berada pada tahap yang amat baik dan terkawal sepanjang tempoh tahun lalu. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi sepanjang tahun lalu, sebanyak 52,444 kes direkodkan menerusi statistik Jenayah Indeks negara. 

Katanya, ia membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM  dengan sebanyak 94.74 peratus tangkapan, 80.29 peratus penyelesaian kertas siasatan dan 58.71 peratus kadar pertuduhan ke atas kertas siasatan.

“Dalam usaha pembanterasan dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menumpaskan sebanyak 273 sindiket dan memberkas seramai 908 orang di seluruh negara dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM482.95 juta sepanjang tahun 2023. 

“Sebanyak 179,865 tangkapan membabitkan 158,493 kes dibuat JSJN mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Razarudin berkata,  sebanyak 18,221 operasi dan memberkas seramai 22,911 individu atas pelbagai kesalahan bagi jenayah komersial pula di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, tahun lalu. 

“PDRM melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri  dan Ketenteraman Awam (KDNKA) pula telah menggerakkan ke semua elemennya meliputi darat, laut dan udara secara total dalam pelbagai operasi bersepadu khususnya membabitkan kawalan sempadan negara. 

“Sebanyak 5,646 tangkapan dibuat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM979.89 juta menerusi 7,355 kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2023,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,395 kes aktiviti penyeludupan direkodkan dan 1,364 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan penyeludupan termasuklah jenayah kontraban dengan nilai rampasan sejumlah RM508.76 juta sepanjang tahun 2023. 

“Bagi tahun yang sama juga, tiada sebarang laporan mengenai Kidnapping For Ransom (KFR), samun berkumpulan dan bersenjata dilaporkan berlaku di sekitar perairan negara termasuk di Sabah dan Sarawak. 

“Ini jelas membuktikan bahawa kedaulatan samudera negara berada dalam keadaan selamat dan terjamin tanpa sebarang ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha melindungi flora, fauna dan khazanah negara, PDRM menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK)  menjalankan 111 tangkapan membabitkan 73 kes dengan nilai keseluruhan  rampasan berjumlah RM18.32 juta sepanjang tahun  2023. 

“PDRM akan terus kekal komited untuk menjalankan fungsinya berdasarkan tanggungjawab dan peranan seperti yang termaktub di dalam Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967. 

“Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan demi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PDRM  dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×