PONTIAN: Syarikat konsesi lebuhraya diminta menghentikan kerja-kerja penyelenggaran dan pembaikan jalan dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan berlaku kesesakan.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, langkah tersebut dapat membantu penyuraian trafik di plaza tol, kawasan rawat dan rehat (R&R) dan sebagainya.
Katanya, syarikat konsesi boleh mula merancang bagi memastikan tidak melakukan kerja-kerja pada saat akhir yang memberikan kesan kepada pengguna apabila dijangka dua juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuhraya pada musim perayaan.
“Jangkaan pada waktu puncak pada 7 hingga 9 April dan 13 hingga 14 April, ketika orang ramai mula pulang ke kampung dan pulang semula ke ibu kota untuk bersekolah dan bekerja semula,” katanya selepas menghadiri program Temashor Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Sekolah Agama (SA) Sanglang, di sini.
Yang turut hadir, Pemangku Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, Mohamed Azrul Syam Mohamed Yusof; Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Nor Mohd. Shawaludin Abdul Malek dan Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Faiz Fuad.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyarankan orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuhraya untuk pulang ke kampung supaya merancang perjalanan mereka bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.
“Saya juga dimaklumkan tentang pusat-pusat kawalan trafik sama ada yang diuruskan oleh syarikat konsesi atau LLM bersama Kementerian Komunikasi akan menyusun perjalanan untuk mengelakkan perjalanan ke kampung secara serentak.
“Selain pengaktifan sementara lorong kecemasan sebagai ‘smart lane’ di laluan kritikal dan pembukaan laluan kontra akan diumumkan di lokasi yang dikenal pasti bagi membantu kelancaran aliran trafik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Beliau juga menyarankan kepada pengguna memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik bagi perjalanan jauh agar selamat sampai ke pangkuan keluarga.
“Begitu juga kad prabayar perlu mempunyai nilai yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah ketika berada di plaza tol sehingga berlaku kesesakan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN











