Azrai dari Anderson ke Speedy Tigers

Azrai dari Anderson ke Speedy Tigers

MUHAMMAD Azrai Aizad Abu Kamal kini menjalani latihan pemilihan bersama 46 lagi pemain hoki di bawah kendalian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Sarjit Singh. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS berjaya mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kini menjadi salah seorang jentera pemusnah untuk skuad ‘jelmaan’ baharu Speedy Tigers.

Azrai atau ramai rakan terdekat mengenalinya sebagai ‘Boy’ sebelum ini mencipta sensasi, merekodkan sejarah baharu MHL apabila muncul penjaring terbanyak menerusi 40 gol, musim lalu.

Kegagahannya menyumbat 33 gol padang dan tujuh menerusi pukulan sudut, Azrai kini sebaris Gonzalo Peillat, Faizal Saari sebagai pemilik status penjaring terbanyak dalam sejarah hoki Malaysia.

Muhammad Azrai Aizad

Biarpun sedikit kecewa kerana kekurangan lapan gol berbanding musim lalu, namun penyerang pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul sekali lagi menjadi penjaring terbanyak tahun ini sebanyak 32 gol.

Bercakap semasa tamat perlawanan Piala TNB 2024 lalu, Azrai meletakkan harapan untuk berada di skuad kebangsaan berikutan beliau tampil mempamerkan aksi terbaik pada liga musim ini.

“Kalau dipanggil alhamdulillah kerana saya meletakkan harapan untuk berada di dalam senarai skuad kebangsaan sekali lagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau teruja sekali lagi selepas tersenarai dalam pasukan wajah baharu skuad hoki lelaki kebangsaan sekali gus menjadi permata berharga buat pengendalinya, Sarjit Singh.

“Dia (Azrai) pemain yang amat berbakat. Saya harap Azrai, jika boleh menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan berbanding di liga, saya nampak kita di landasan yang sebenarnya.

“Pada pandangan saya, Azrai seorang yang pemain berusaha keras dalam mencapai impiannya. Pemain semuda itu dengan bakat dia meledak gol, saya pasti dia menjadi tonggak utama untuk masa depan Speedy Tigers,” ujar Sarjit.

Pemain berusia 25 tahun itu dahulu meletakkan tonggak utama pasukan hoki negara, Faizal Saari sebagai idolanya sejak kecil sekali gus mempamerkan persembahan yang menarik ketika Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019, yang mana dia menjadi ayam tambatan baharu Speedy Tigers.

Beraksi di sisi penyerang sensasi Faizal Saari menyebabkan dia pantas menyesuaikan diri bersama pasukan semasa kejohanan PSAS 2019.

“Memang (faktor Faizal sebagai idola sejak dari kecil) banyak membantu saya dulu, saya memang sudah lama menjadikan corak permainan Faizal sebagai ikutan, jadi ia sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri sehingga sekarang.

Bekas pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi pernah terkesima dengan aksi yang ditampilkan oleh Azrai sebelum ini ketika kejohanan PSAS 2019.

Mirnawan berkata, beliau tertarik dengan corak permainan produk dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh itu ketika mengawal bola dalam permainan.

“Selain tidak mudah kehilangan bola, beliau (Azrai) mempunyai kawalan bola yang baik dan tidak melepaskannya kepada pihak lawan dengan mudah.

“Saya tertarik dengan bakat Azrai terutama 3D skil yang mengelirukan pemain lawan dan kepantasan yang dimiliki selain berani membuat keputusan dalam waktu singkat ketika diasak pihak lawan.

“Bagi saya, Azrai boleh menjadi aset buat skuad negara kerana kebolehan dimiliki, dia juga bukan jenis pemain yang bermain cara selamat kerana keberaniannya untuk mencabar pemain pasukan lawan,” kata Mirnawan.

Kemampuan hebat Azrai dalam menyempurnakan peluang bukan perkara asing dalam kancah hoki negara pada ketika itu susulan beliau merupakan antara nama yang sering mendapat perhatian kepada bekas pengendali skuad negara, A. Arul Selvaraj. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×