SEGAMAT: Seorang imam yang rebah dan meninggal dunia ketika mengimamkan solat subuh pagi semalam sempat memberi nasihat terakhir kepada anak-anaknya wajib belajar cara menguruskan jenazah.
Menurut Mohd. Syukri Mohd. Razif, 35, anak sulung kepada Imam 1 Masjid Jamek Kampung Sermin, Mohd. Razif Hussin, 62, bapanya pernah berpesan kepada mereka adik-beradik untuk belajar ilmu fardu kifayah tersebut.
“Arwah bapa saya sebelum ini pernah memberitahu saya dan adik-adik supaya wajib belajar uruskan dan tahu solat jenazah kerana nanti bila dia meninggal dunia kami (anak lelaki) boleh uruskan jenazahnya.
“Sekarang kami sudah tunaikan amanatnya dan itulah khidmat terakhir kami untuk arwah bapa kami. Amanat bapa saya itu menggambarkan seolah-olah dia mendapat petanda awal akan meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya.
“Akhirnya ia menjadi realiti pagi semalam namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan ilahi ini di mana dia pergi dengan cara yang baik, di tempat yang baik dalam bulan yang mulia ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sermin, Segamat.

Kelmarin, Mohd. Razif dikatakan rebah ke bahagian hadapan mimbar ketika mengimamkan solat subuh pada rakaat pertama di masjid berkenaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Segamat (HDS).
Tambah Mohd. Syukri, arwah bapanya ada masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan jantung serta dimasukkan ke sebuah hospital di Johor Bahru beberapa bulan lalu.
“Arwah bapa saya sangat mengambil berat tentang solat berjemaah sama ada di rumah atau di masjid.
“Sejak kebelakangan ini pula, arwah bapa saya banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran. Selain itu, dia juga aktif dengan kerja kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan di kampung ini,” katanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik yang kesemuanya lelaki.
Sementara itu, seorang jemaah masjid, Abdul Halim Abdul Wahab, 60, berkata, dia melihat wajah imam itu dalam keadaan bersih dan berseri-seri ketika membuka kain kafan untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir.
“Memang saya nampak wajahnya berseri seolah bercahaya dari biasa kerana sepanjang hayatnya dia memang suka bantu orang tanpa mengira kaum dan agama.
“Arwah juga beberapa hari lalu, ada beritahu ahli kariah masjid yang dia mahu lepaskan urusan memasak bubur lambuk kepada ahli lain.
“Ketika itu saya menganggap kata-katanya hanya perkara biasa, namun tidak disangka itu antara tanda pemergiannya buat selama-lamanya,”kongsinya.
Jenazah Mohd. Razif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sermin selepas disolatkan di Masjid Jamek Kampung Sermin selepas Asar petang, semalam.










