GERIK: Kawasan lalang di tepi jalan dan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau, Sungai Rui di sini, terbakar tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kebakaran itu diterima pada pukul 12.27 tengah hari dengan sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi memadam kebakaran segera dijalankan dengan menggunakan pancutan air dari tangki, pam racun dan pemerap api.
“Cuaca panas dan kering serta berangin menyebabkan api marak dengan pantas.
“Kebakaran melibatkan lalang, daun dan kayu kering itu bagaimanapun berjaya dikawal pada pukul 1.16 petang di mana hanya tinggal sisa-sisa kecil api di atas bukit,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman ditangguhkan pada pukul 7 petang dan akan disambung semula pada esok pagi.
Katanya, pemantauan di lokasi oleh anggota diteruskan secara berkala bagi memastikan sisa-sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan tiada lagi sumber nyalaan yang boleh menyebabkan kemerebakan semula.
“Kebakaran tidak melibatkan pokok kayu yang besar kerana corak kebakaran itu hanya melibatkan permukaan hutan dan belukar.
“Operasi pemadaman dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik,” katanya. – UTUSAN











