SAUDARA PENGARANG,
PERCUTIAN kami sekeluarga baru-baru ini ke Cameron Highlands sempena cuti sekolah dan perlu menempuh perjalanan yang amat membosankan dan ia diburukkan lagi dengan keadaan permukaan jalan yang berlubang-lubang. Entah berapa lama keadaan jalan itu dibiarkan tanpa dilakukan apa-apa pembaikan.
Tanpa sedar, keadaan jalan yang tidak memuaskan itu boleh mengundang bahaya kepada pelancong memandang lokasi itu tidak pernah sunyi dengan pengunjung.
Umum mengetahui pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, berpusu-pusu kenderaan akan memasuki Cameron Highlands. Dan masalah kesesakan di sana diterukkan lagi dengan kenderaan dilencongkan melalui jalan berbukit dan berselekoh menuju ke Brinchang, bukannya mengatasi isu kesesakan jalan raya.
Apa yang kami kesalkan adalah apabila tiada sebarang langkah diambil oleh pihak berwajib atau anggota polis trafik untuk mengatasi masalah tersebut yang dianggap terlalu lama bahkan perjalanan paling membosankan.
Saya dan keluarga terpaksa mengambil masa berjam-jam lamanya, mungkin antara tiga hingga empat jam untuk ‘turun’ dari pusat peranginan itu.
Saya percaya ramai lagi merasakan perkara yang sama malah ada yang beranggapan percutian di pusat peranginan itu sebagai ‘mimpi ngeri’ selain serik untuk mengulangi percutian ke destinasi pelancongan tersebut.
Justeru, diharapkan perkara ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak berwajib agar dapat melakukan kerja-kerja penambahbaikkan dan yang paling penting pengunjung merasa selesa dan tidak bosan.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang










