SAUDARA PENGARANG,
WANITA perlu dilayan dan diberikan hak secara adil selari dengan konsep Malaysia Madani yang turut meletakkan usaha untuk memastikan golongan itu tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.
Namun, apabila disebut wanita mesti dilayan dan diberikan hak secara adil, maka sewajarnya ia mestilah tidak melanggar sempadan ketetapan beragama, khususnya yang beragama Islam dengan mengambil kira soal kejayaan dan kebahagian di akhirat.
Dalam konteks ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) harus peka dan prihatin supaya golongan ini tidak terbabas dalam memperjuangkan hak mereka.
Pendekatan secara komprehensif dalam memartabatkan wanita dalam bidang-bidang utama merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, kepimpinan, keselamatan dan perundangan perlu diperkukuhkan lagi berteraskan agama, budaya bangsa dan nilai-nilai murni seperti yang pernah digariskan oleh kementerian itu dalam kerangka memperkasa wanita sebelum ini.
Demikian juga, inisiatif menubuhkan sebuah unit khas di bawah Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dengan kerjasama KPWKM dapat memperluaskan lagi bidang kuasa kementerian terbabit dalam menjaga kesejahteraan wanita keluarga dan masyarakat di negara ini.
Sebelum ini, usaha-usaha awal seperti menyasarkan agar 30 peratus wanita dilantik di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam telah mencapai sasaran, manakala sektor swasta pula ialah 25.8 peratus.
Demikian juga jurang dalam pendidikan dan kesihatan untuk wanita turut menunjukkan peningkatan, termasuklah keterlibatan golongan itu dalam beberapa bidang lain seperti ekonomi dan politik, walaupun ia masih perlu dipertingkatkan lagi pencapaiannya.
Apa yang penting kerajaan perlu terus merancang penyelarasan dan koordinasi antara pelbagai pihak untuk meningkatkan pembangunan dan pencapaian wanita, terutama dalam bidang-bidang yang belum mencapai sasarannya.-UTUSAN
MOHD. AYOP ABD RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas










