DILAHIRKAN di bandar Dhahran di wilayah timur Arab Saudi, Ritaj Hussain Alhazmi bukan sekadar inspirasi kepada penulis muda lain tetapi bagi sesiapa yang berani menggapai impian besar.
Pada usia muda 15 tahun dan 37 hari, Ritaj disahkan sebagai kolumnis akhbar termuda kategori wanita, pencapaian yang banyak menceritakan minat dan dedikasinya terhadap seni penulisan.
Perjalanan Ritaj bermula sekitar usianya enam tahun, ketika dia sering mengunjungi perpustakaan bersama bapanya, Hussain Alhazmi yang bekerja sebagai jurutera di syarikat minyak Aramco.
Selain gemar menghabiskan masa membaca pelbagai genre buku dan jurnal, dia mahukan sesuatu yang boleh menghubungkannya dengan orang ramai selain berkongsi idea, pandangan dan pendapatnya tentang dunia.
Ritaj kemudian menyedari menulis adalah cara yang paling berkesan merealisasikan keinginannya itu dan dia mula menulis buku fiksyen atas dorongan ibu bapanya.
Pada usia tujuh tahun, Ritaj mula menulis cerpen. Pada usia 11 tahun, dia menerbitkan novel pertamanya bertajuk Treasure of the Lost Sea pada 2019.
Manakala buku keduanya, Portal of the Hidden World, diterbitkan pada November 2020.
Selepas buku keduanya diterbitkan, Ritaj melayakkan diri untuk memegang Rekod Dunia Guinnes kanak-kanak perempuan termuda yang menerbitkan buku cerita bersiri ketika usianya mencecah 13 tahun. Novel ketiga bertajuk Beyond the Future World.
Kini memasuki dunia kewartawanan, Ritaj melaporkan tentang transformasi Arab Saudi, menonjolkan potensi generasi muda baharu untuk merevolusikan ekonomi negara itu.
Remaja itu sekali lagi melakar namanya dalam Rekod Dunia Guinnes selepas mengarang 10 artikel untuk Arab News, memfokuskan pada projek di Arab Saudi seperti The Line dan NEOM dalam program Wawasan 2030 negara Asia Barat itu.
Ritaj juga menulis tentang program angkasa Arab Saudi, pemeliharaan budaya, kemampanan, inisiatif tempatan serta usaha memperkasa generasi baharu.
“Dengan banyak inisiatif dan program yang kita lihat hari ini, saya percaya kita akan dapat melihat kemajuan besar sepanjang beberapa tahun akan datang yang bukan sahaja akan mengasah generasi baharu berpotensi, tetapi juga menjamin ekonomi yang berkembang maju,” katanya tentang harapannya untuk masa depan kerajaan Arab Saudi.
Gadis itu turut menasihatkan mereka yang berminat dalam bidang berkenaan untuk menyertai kursus penulisan bagi membimbing dan mengembangkan bakat mereka serta tidak cepat putus asa ketika menghasilkan sesebuah karya.
“Jika berminat untuk menjadi seorang penulis maka satu perkara yang anda harus ingat ialah tidak kira kesukaran yang mungkin anda hadapi, anda harus sentiasa berusaha untuk maju.
“Menulis adalah cara untuk berkongsi fikiran dan pendapat dengan dunia. Ia adalah proses kreatif, sejenis seni yang mempunyai pelbagai bentuk. Carilah gaya penulisan anda sendiri.
“Saya percaya cerita atau artikel yang bagus terletak pada struktur yang hebat. Bagi menghasilkan karya yang baik dan diingati, kita perlu memastikan penulisan itu konsisten dengan tajuknya. Menambah butiran atau watak menarik juga boleh membantu,” ujarnya lagi.
Selepas memegang dua rekod dunia, Ritaj kini sedang bekerja keras untuk menerbitkan sebuah lagi fiksyen bertajuk The Passage to the Unknown dan beberapa lagi seperti The Day Before 2050 yang masih dalam pembikinan. – AGENSI










