KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM10.8 juta dalam dua serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg), pil Erimin 5 (90kg) dan Heroin Base (3kg).
Allaudeen berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis yang menyerupai pusat penjagaan kanak-kanak sebagai stor menyimpan bekalan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita juga telah menangkap seorang lelaki Cina tempatan berumur 38 tahun, dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.
Kata beliau, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Saya berharap warga kota dapat terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat,” jelasnya. – UTUSAN











