PETALING JAYA: Subsidi tepung gandum kegunaan am telah ditamatkan sejak Jun 2022 berikutan tiada syarikat pengeluar mahu membekalkan tepung mengikut harga yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Pengeluaran tepung bersubsidi juga tidak dapat diteruskan berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 per kilogram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tiada tuntutan subsidi dibuat oleh syarikat-syarikat pengeluar bermula bulan Jun 2022.
“Subsidi bukan ditarik atau ditamat mulai tahun ini malah sejak Jun 2022 sudah tidak ada subsidi tepung.
“Ini adalah kerana syarikat-syarikat terbabit telah menarik diri akibat tidak mampu menampung kos pengeluaran terutamanya dengan peningkatan harga gandum dunia” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, media tempatan melaporkan subsidi tepung gandum kegunaan am akan ditamatkan pada tahun ini.
Bagaimanapun, berita itu telah dipadam media terlibat berikutan terdapat pembetulan mengenai perkara tersebut walaupun sudah dibincang dalam mesyuarat Kabinet.
Armizan berkata, kerajaan sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi yang hanya akan memanfaatkan kumpulan sasar warganegara yang layak sahaja.
Tambahnya, satu mekanisme sedang dibangunkan di peringkat kementeriannya untuk menyasarkan minyak masak bersubsidi kepada mereka yang layak membeli di peringkat runcit.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pengumuman penarikan balik subsidi tepung akan menjadi alasan kepada peniaga-peniaga untuk menaikkan harga mereka. – UTUSAN










