PETALING JAYA: Pasangan adik beradik, Aifa dan Aira Azman bertemu buat julung kalinya di pentas antarabangsa dan hasil pertembungan itu berkesudahan si adik, Aira mara ke suku akhir pada skuasy Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-44 dunia, Aira menewaskan Aifa yang berada di kedudukan ke-35 dunia 11-9, 11-2, 8-11, 11-3 pada pusingan kedua.
Kemaraannya ke peringkat lapan terbaik, esok, bakal menyaksikan naib juara remaja dunia itu akan berdepan laluan lebih getir apabila perlu melepasi halangan pilihan pertama, Salma Hany dari Mesir.
Salma yang menghuni ranking No. 11 dunia tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan wakil India, Akanksha Salunkhe 11-2, 11-3, 11-1 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Aira, 19, ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, perlawanan, hari ini, berlangsung sedikit beremosi kerana kali pertama dia menentang kakaknya di dalam gelanggang.
“Selama ini, kami hanya berlatih bersama sejak kami kecil lagi dan saya agak emosi kerana mengalahkan kakak saya.
“Aifa bermain baik, hari ini, cuma saya tidak rasa dia berada pada prestasi sebenarnya. Saya pula cuba memberikan yang terbaik menentang Aifa kerana saya tahu dia seorang pemain yang sangat bagus.
“Saya memberikan segala-galanya yang saya ada, saya tahu kelemahannya dan begitu juga dengan Aifa,” katanya.
Mengakui permainan dia dan Aifa agak mirip, justeru, Aira memberitahu, dia telah mengubah strategi permainan bagi menyukarkan kakaknya itu mengatasinya dan ternyata perancangan tersebut membantu.
Pemain No. 28 dunia, Rachel Arnold yang diletakkan selaku pilihan ketiga menundukkan Cheng Nga Ching dari Hong Kong 11-7, 11-8, 12-10.
Pada suku akhir, anak kelahiran Kuala Lumpur itu akan turun beraksi menentang Sana Ibrahim dari Mesir yang berada di ranking ke-37 dunia.
Mungkin ini peluang terbaik buat Rachel untuk membalas dendam ke atas Sana yang pernah menewaskannya sekali pada Terbuka Squash On Fire, tahun lalu.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara yang turut mara ke suku akhir ialah pemain No. 87 dunia, Chan Yi Wen selepas dia mengejutkan pilihan ketujuh, Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-9, 13-15, 4-11, 11-6, 11-9.
Pada suku akhir, esok, pemain berusia 23 tahun itu bakal berdepan pilihan keempat, Tomato Ho juga dari Hong Kong. – UTUSAN










