Isu beras: Anwar akui pemantauan lemah

Isu beras: Anwar akui pemantauan lemah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kelemahan aspek penguatkuasaan dan pemantauan menyebabkan negara ‘kehilangan’ beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak lebih tegas dan kerap melakukan pemantauan dan tinjauan bukan sahaja mengenai soal beras, sebaliknya barangan keperluan lain.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) baru-baru ini menggambarkan bahawa kerajaan tegas dalam soal harga dan bekalan beras.

“NACCOL sebelum ini memutuskan beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 sekampit sekali gus membolehkan BPT kembali berada di pasaran.

“Aneh juga bila Perdana Menteri dah naik angin sikit (kecewa dengan ketiadaan BPT di pasaran), Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) kata boleh turun harga RM2 dan pengilang pula kata boleh turun RM1.

“Tahun sudah tiada pula jadi, alhamdulillah turun RM3 harga beras import dan ia penurunan yang banyak untuk pembeli dan pengguna biasa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini semalam.

Katanya, beliau sendiri hai­ran kenapa BPT tiada di pasaran sebelum ini sedangkan ia direkodkan ada dalam laporan.

Namun, katanya, ketegasan kerajaan dalam mesyuarat NACCOL akhirnya berjaya membongkarkan ne­gara mempunyai sekitar 150,000 metrik tan BPT di pa­saran.

“Bila kita tekankan perkara itu rupanya ada sekitar 150,000 metrik tan beras tempatan untuk diedar tapi tak cukup untuk semua.

“Ketika ini, BPT dijual dan diedar di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) supaya tiada kos penyewaan dan pengangkutan bagi kekalkan harga RM26.

“Tapi kenyataannya ialah harga beras, gula, minyak mentah, kita (Malaysia) ini paling murah di Asia Tenggara dan ini tidak diberi penekanan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menerusi NACCOL bersetuju supaya harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan berkata, semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik pula dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.

Kerajaan turut bersetuju semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, sekali gus membolehkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan di pasaran pada April ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar mendedahkan Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan asing bernilai RM76.1 bilion setakat Mac 2024.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi pelaburan itu diperoleh menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan di Australia yang menyumbang RM24.5 bilion serta Jerman dan Perancis sebanyak RM46 bilion.

Menurutnya, sebagai negara keenam terbesar dunia dari segi eksport semikonduktor, Malaysia meraih manfaat besar daripada persaingan antara Amerika Syarikat dan China dalam penghasilan cip.

“Kebanyakan syarikat luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang strategik untuk pelaburan mereka kerana ekosistem industri semikonduktor yang maju dan mendapat dukungan penuh daripada kerajaan,” katanya.

Jelasnya, beberapa fakta penting menyokong prestasi ekonomi yang lebih baik tahun ini termasuk kadar pengangguran turun ke paras 3.3 peratus pada Januari 2024 iaitu kembali ke paras prapandemik pada tahun 2022 iaitu 3.7 peratus.

Katanya, kadar inflasi juga rendah dan turun kepada 1.6 peratus untuk suku keempat 2023 berbanding 2.0 peratus pada suku ketiga tahun lalu.

Anwar berkata, prestasi eksport turut menunjukkan tanda pemulihan pada Januari 2024 dengan peningkatan 8.7 peratus selepas menguncup sepuluh bulan.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu yang mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bi­lion daripada kerajaan pusat, Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak pernah zalim terhadap Terengganu terutama dalam soal Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan sebaliknya peruntukan berkenaan ditingkatkan setiap tahun.

Jelasnya, agihan peruntukan Belanja Pembangunan bagi Terengganu ditingkatkan kepada RM1.59 bilion tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada 2023 dan bagi Pemberian Persekutuan pula, jumlah diberikan lebih tinggi.

“Peruntukan yang diagihkan oleh Kerajaan Perpaduan lebih pada pemerintahan ketika PAS dan Bersatu, zalim macam mana? Kita tambah kepada RM413 juta pada 2023 dan dijangka meningkat pada tahun 2024.

“Dia (Menteri Besar Terengganu) kata zalim. Ketika saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×