SEREMBAN: Hotel Royale Chulan Seremban menyemarakkan suasana sambutan Ramadan apabila menyediakan sebanyak 1,000 pek bungkusan bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk di Flat Seri Seroja, Taman Tasik Jaya di sini hari ini.
Pengurus Besarnya, Abdul Rahman Ahmad berkata, agihan bubur lambuk menerusi program tanggungjawab sosial korporat adalah sumbangan pihak hotel itu untuk dikongsikan bersama masyarakat sempena Ramadan.
“Kebanyakan penduduk di sini adalah daripada kumpulan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) jadi kami bawakan bubur lambuk daging hasil masakan chef hotel untuk penduduk di sini nikmati.
“Untuk penghasilan bubur lambuk ini, sebanyak 40 kilogram beras dan 30 kilogram daging digunakan. Kerja-kerja memasak bermula pukul 5 pagi dan berakhir pukul 2 petang tadi dan kemudian diedarkan kepada penduduk pada pukul 4 petang,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan ini bukan sahaja memeriahkan lagi suasana Ramadan tetapi ia juga mengeratkan silaturahim.
“Ini dapat dilihat daripada segi penyiapan bubur lambuk yang dimasak dan dibungkus secara gotong-royong melibatkan seramai 28 kakitangan Royale Chulan Seremban.
“Kami juga berharap usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau Flat Seri Seroja, Suhairi Sulaiman berkata, sumbangan berkenaan dianggap penduduk sebagai rezeki yang baik di bulan Ramadan.-UTUSAN.










