TAPAH: Taman Eko-Rimba Lata Kinjang yang memiliki air terjun paling tinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 850 meter dari paras laut merupakan antara produk pelancongan utama sempena Tahun Melawat Perak 2024 kerana keindahan flora dan faunanya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke taman itu, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sejak Julai 2021 secara berfasa dengan pelaburan keseluruhan bernilai RM2.7 juta.
“Jumlah ini turut melibatkan program peningkatan kemahiran dan keusahawanan serta suntikan dana perniagaan untuk Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB).
“Sehingga dinaik taraf sehingga Januari 2024 sahaja, lebih 150,000 pelancong dari dalam dan luar negara telah direkodkan mengunjungi taman ini yang telah berjaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.4 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Sengoi Hik Discovery Centre di Taman Eko-Rimba Lata Kinjang di sini, hari ini.
Taman itu telah dinaik taraf oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berasaskan tiga fasa iaitu dengan kos sebanyak RM2.7 juta yang melibatkan pembangunan kemudahan seperti surau, tandas, gazebo, laluan pejalan kaki dan jambatan gantung.
Selain itu, tapak perkhemahan, Tube Camp, tempat parkir, Sengoi Hik Discovery Centre dan laman sesawang rasmi taman itu yang dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, pelancaran Sengoi Hik Discovery Centre merupakan refleksi kerajaan negeri menghargai, mengakui, dan memperkayakan kehidupan masyarakat Orang Asli melalui pengenalan dan pemahaman yang lebih luas terhadap budaya dan tradisi mereka.
“Pengunjung berpeluang untuk berinteraksi terus dengan masyarakat Orang Asli setempat, belajar tentang kehidupan, budaya, serta kecekapan dan kemahiran mereka dalam memelihara alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A. Hasan berkata, pembangunan taman eko rimba itu telah membantu mewujudkan 24 peluang pekerjaan menerusi penubuhan KOALKB dan ahli koperasi berkenaan telah menikmati dividen pertama hasil daripada projek ini.
“Malah, projek ini meningkatkan sosioekonomi Orang Asli di Lata Kinjang dan kawasan sekitarnya selain melahirkan enam orang usahawan berjaya,” katanya. – UTUSAN











