PETALING JAYA: Polis menafikan insiden pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur adalah berkaitan kes samun sebaliknya ia perselisihan faham membabitkan warga asing.
Dalam kejadian pukul 9.24 malam pada Ahad lalu membabitkan pergaduhan di sebuah rumah kongsi di sekitar pasar borong terbabit.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, seramai empat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut susulan kejadian itu.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 20 dan 21 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes itu.
“Motif pergaduhan itu dipercayai akibat perselisihan faham antara suami isteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Mereka direman bermula 18 hingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan.
“Rakaman video itu dipercayai ditularkan individu yang terbabit dengan pergaduhan itu iaitu lelaki warga Myanmar yang berbangsa India sebelum terus disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Ahmad Sukarno menasihatkan orang supaya tidak mudah percaya dengan maklumat tidak benar dan tidak berasas yang tidak ditentukan kesahihannya.
Jelas beliau, tindakn tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Sebarang maklumat berhubung insiden itu boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi empat minit 55 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di kaki lima bangunan kedai di pasar borong berkenaan tular di media sosial hari ini.
Video terbabit ditularkan dengan keterangan ‘India curi Rohingya punya rumah’. – UTUSAN










