Keputusan kadar baharu tarif air Perak minggu depan - Utusan Malaysia

Keputusan kadar baharu tarif air Perak minggu depan

KETUA Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad memakaikan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) kepada Saarani Mohamad pada program di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak dijangka membuat keputusan berkaitan kadar baharu tarif air negeri ini minggu depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi.

“Kita tangguh seminggu, minggu depan baru kita buat keputusan. Belum muktamad keputusannya. Ada perkara yang perlu kita perhalusi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Saarani sebelum ini berkata, kerajaan Perak akan memastikan sebarang kenaikan tarif air di negeri itu tidak akan membebankan pengguna walaupun kadarnya tidak pernah dinaikkan sejak kira-kira 30 tahun.

Sementara itu katanya, beliau akan berbincang dengan pihak Jabatan Agama Islam Perak mengenai kelonggaran pakaian bagi murid sekolah agama negeri itu susulan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Jelasnya, dari segi aktiviti pembelajaran, sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama negeri akan mengikut ketetapan apa yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata demikian rentetan cuaca panas yang melanda pelbagai tempat dalam negara, termasuk Perak sejak beberapa minggu lalu.

Beliau juga berkata, setakat ini tiada empangan dalam negeri itu yang terjejas akibat cuaca panas dan semua masih terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×