Sampai bila rakyat hendak angkut air, mandi sungai berbuaya?

Sampai bila rakyat hendak angkut air, mandi sungai berbuaya?

ARMIZAN Mohd. Ali membantu mengisi air ke dalam bekas di Kampung Kuala, Papar, Sabah bagi kegunaan penduduk terjejas sejak dua bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU setiap kali berkunjung ke rumah bapa saudara di Beaufort, Sabah, masalah gangguan bekalan air merupakan antara isu hangat yang diperkatakan oleh penduduk kampung.

Mencuci pakaian dan mengambil air di sungai sudah menjadi rutin harian setiap kali berlaku gangguan bekalan termasuklah semasa perayaan Aidilfitri. Menjalani kehidupan seperti ini sudah pastinya memerlukan ketahanan bukan sahaja fizikal tetapi mental.

Namun, itu kisah yang berlaku pada awal 2006. Kini, penduduk di daerah itu boleh menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu berhadapan gangguan bekalan air yang teruk seperti dahulu.

Masalah air ini mula ‘berjangkit’ ke daerah Papar yang telah diisytihar sebagai kawasan bencana kemarau.

Sudah hampir dua bulan penduduk di Papar ‘bergelut’ dengan masalah air yang mungkin akan berlanjutan sehingga ke bulan April atau Mei sekiranya tidak hujan akibat kemarau.

Jika berlaku masalah gangguan bekalan air di Semenanjung Malaysia, pasti kecoh satu negara tetapi, sebaliknya pula di Sabah. Tidak pula mendapat liputan meluas apabila negeri ini berdepan masalah air.

Perkara sebegitu pernah diutarakan oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali pada Januari lalu.

“Apabila Pulau Pinang ada masalah air baru-baru ini untuk kerja penyelenggaraan dan telah dimaklumkan kepada penduduk bahawa ada notis gangguan bekalan air selama empat hari, kecoh satu Malaysia keluar di TV (televisyen) sana, sini dan media,” katanya.

Kini, penduduk yang terjejas di Papar menginjak daripada 54,000 pada Februari lalu kepada 100,000 orang susulan bilangan kampung yang terjejas meningkat kepada 43 kampung.

Masalah air mula berlaku selepas penutupan operasi dua Loji Rawatan Air (LRA) di Limbahau yang berhadapan dengan masalah kemasukan air masin ke muka sauk.Tahap kemasinan terkini berada pada tahap 4,277 mg per liter berbanding standard piawaian dibenarkan iaitu 120 mg per liter.

Kapasiti penghantaran air yang diperlukan adalah tujuh juta liter sehari berbanding 1.18 liter sehari yang dihantar melalui lori tangki air pada masa ini.

Situasi air yang sangat kritikan itu memaksa penduduk kampung mengambil risiko sendiri dengan mandi dan mengambil air di laut dan sungai yang berbuaya.

Gangguan bekalan sepanjang tempoh dua bulan ini ‘menghantui’ penduduk kerana bukan hanya mengganggu urusan seharian tetapi menambah kegusaran terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

“Kadang-kadang kami terpaksa angkut air dari pantai untuk kegunaan di tandas. Kalau tiada air, berbau bah tandas.

“Kami tiada pilihan, itu sahaja cara mendapatkan air untuk meneruskan urusan seharian,” kata Manila Anip, 36 yang merupakan penduduk Kampung Kuala.

Semasa lawatan ke Kampung Kuala pada Ahad lalu, Armizan menyatakan kebimbangan apabila ada penduduk terpaksa mandi di sungai yang ada buaya.

“Saya harap masyarakat berhati-hati apabila bertindak untuk mandi di sungai sebab kita tahu di Papar ini pembiakan buaya cukup banyak, saya agak khuatir.

“Semasa operasi baru-baru ini pun, hanya beberapa ekor buaya yang dapat ditembak. Itulah saya harap masyarakat lebih berhati-hati apabila mandi di sungai,” kata Armizan.

TERDESAK
Keterdesakan rakyat untuk meneruskan kehidupan harian mengundang bahaya dan risiko keselamatan. Namun, mereka tiada pilihan lain memandangkan tiada setitis air paip mengalir ke rumah.

Biarpun ada penghantaran air dilakukan di tangki statik yang ditempatkan di lokasi tumpuan orang awam seperti masjid dan surau namun, ia hanya mampu bertahan untuk kegunaan sehari atau dua hari sahaja.

Setiap hari ada sahaja penduduk yang menolak air dalam tong menggunakan kereta sorong, ada yang mengangkut air dengan berbasikal dan ada juga yang datang dengan kenderaan.

Penduduk terpaksa menadah air di tangki statik di bawah terik matahari dalam keadaan berpuasa. Mungkin ini ujian Ramadan buat penduduk di daerah ini tetapi persoalannya, sampai bila mereka harus mengangkut air setiap hari?

Bagi mereka yang berkemampuan, air mineral mungkin menjadi sumber air alternatif namun, kebanyakan penduduk di kawasan ini terdiri daripada golongan B40. Maka, membeli air mineral dilihat sebagai satu bebanan ketika ini.

Telaga tiub juga satu lagi alternatif yang boleh diusahakan oleh penduduk kampung namun, tidak semua orang pandai mencari sumber air bawah tanah biarpun selepas mengorek tanah sedalam kira-kira lima meter atau lebih.

Dalam keadaan yang kritikal sebegini sepatutnya kerajaan menggerakkan semua jentera dan aset sedia ada bagi menambah bilangan lori tangki penghantaran air.

Sekiranya air dari LRA Kogopon tidak mencukupi, mungkin boleh meminjam sumber air daripada daerah jiran sebagai langkah penyelesaian sementara sehingga hujan turun atau setelah pembinaan muka sauk kedua siap.

Di samping itu, peruntukan kecemasan juga harus diluluskan segera agar cadangan membina muka sauk kedua di Kampung Kabang boleh dilaksanakan secepat mungkin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×