BATU PAHAT: Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM212,000 di sebuah rumah kosong di Taman Harmoni, Parit Sulong, dekat sini pukul 12.10 tengah malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, rumah berkenaan yang tiada bekalan air dan elektrik dipercayai dijadikan stor bagi menyimpan 193 kotak mercun serta bunga api terbabit sebelum dipasarkan dalam pasaran tempatan.
Pihaknya kini masih mengesan pemilik atau individu yang bertanggungjawab terhadap rumah yang dijadikan stor itu serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang dalam mencari pendapatan sampingan, terutamanya ketika menghadapi musim perayaan.
Pihak berkuasa akan bertindak tegas terhadap golongan yang melanggar peraturan dan undang-undang negara. – UTUSAN










