SAUDARA PENGARANG,
SAYA bersetuju dan tertarik dengan tulisan Profesor Emeritius Datuk Dr. Teo Kok Seong dalam Utusan Malaysia pada 5 Mac lalu.
Tulisan dan kenyataan tulus ikhlas beliau dalam artikel bertajuk Kekeliruan nama bak kut teh sebagai makanan warisan negara wajar diberikan perhatian oleh kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Saya membaca ayat demi ayat setiap baris perkataan tulisan tersebut. Natijahnya, saya dan mungkin ramai di luar sana merasakan pengisytiharan bak kut teh wajar ditangguhkan sehingga polemik itu selesai dibincangkan oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Menurut tulisan tersebut, bak kut teh boleh menggunakan daging ayam, lembu, kambing atau kerbau tetapi prototaipnya iaitu bentuk asalnya sebagai sup tulang babi. Inilah yang menyebabkan masyarakat Melayu dan Islam rasa tidak selesa.
Kok Seong juga menyebut alasan bahawa ia (bak kut teh) hanya satu daripada sepuluh yang diangkat sebagai makanan warisan pada kali ini bukan sahaja tidak bernas tetapi memperlihatkan pihak yang mengangkatnya itu langsung tidak memahami keadaan yang sebenarnya.
Beliau menambah, natijahnya ialah mengapakah perkara sesensitif ini kepada etnik Melayu selaku penduduk asal selain kelompok majoriti lagi dominan di negara ini, tidak difahami, malah tidak mahu langsung diendahkan oleh etnik bukan Melayu, khususnya Cina? Tidak dapat dinafikan ia sengaja terus dilakukan atas dasar sama rata yang mahu dituntut kononnya demi nama kepelbagaian budaya.
Untuk keharmonian di sebuah negara yang tuan miliknya adalah etnik Melayu, Kok Seong berpendapat adalah sangat adil untuk kita terus mengguna pakai Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 yang bukan sahaja amat jelas haluannya untuk identiti nasional negara ini.
Sepatutnya bak kut teh tidak boleh diangkat sebagai warisan lagi, memandangkan kontroversi belum selesai. Kita tidak mahu dengan isu sebegini merenggangkan perpaduan antara kaum yang sangat sukar untuk dibentuk semula.-UTUSAN
OTAI PENCEN
Pahang Darul Makmur










