Stoking: 8 termasuk pengasas KK Mart dirakam keterangan

Stoking kalimah Allah: 8 termasuk pengasas KK Mart dirakam keterangan

STOKING yang memaparkan kalimah Allah SWT, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapan individu termasuk Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai telah dirakam keterangan semalam bagi siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan, keterangan semua individu berkaitan diambil kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Kata kenyataan itu, sebanyak 80 laporan polis diterima berhubung isu itu di seluruh negara setakat pukul 12 tengah hari ini.

“Siasatan masih di peringkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan mengenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku yang terlibat.

“Siasatan dilakukan ini adalah secara menyeluruh ke atas fakta isu kes penjualan stoking tertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway,” katanya di sini.

Kata JSJ, Bukit Aman, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan.

“Siasatan awal setakat ini mendapati vendor terlibat beroperasi di Batu Pahat, Johor,” jelasnya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka.

Seri Paduka Baginda bertitah, tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu tersebut berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Dalam pada itu, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×