PATI dikenakan RM3,000 seorang pulang guna laluan tikus - Utusan Malaysia

PATI dikenakan RM3,000 seorang pulang guna laluan tikus

AMINUL IZMEER Mohd. Sohaimi (kanan) dan Timbalannya, Sharif Atip menunjukkan gambar PATI yang berjaya ditahan pihaknya dalam sidang akhbar di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sindiket penyeludupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang didakwa mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 seorang.

Pengarah Kastam negeri, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, perkara tersebut dikesan selepas pihaknya menahan 12 warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 50 tahun yang sedang dalam perjalanan menaiki sebuah bot yang dikendalikan dua tekong menuju ke Pulau Batam, Indonesia pada 15 Mac lalu.

“Anggota Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Kastam mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan Tanjung Pelepas pada pukul 2 pagi, Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua penumpang bot berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, selain dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat kastam di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, dekat sini hari ini.

Aminul Izmeer menjangka akan berlaku pertambahan jumlah PATI yang keluar meninggal negara ini untuk pulang ke negara asal mereka dalam waktu terdekat.

“Dua tekong telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Seramai 10 PATI itu pula diserahkan kepada Jabatan Imigresen, manakala bot fiber berserta enjin yang dianggarkan bernilai RM42,000 ditahan,” katanya sambil meminta kerjasama orang awam dalam membanteras penyeludupan kerana kegiatan itu bukan sahaja merugikan, malah mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Maklumat boleh disalurkan menerusi talian bebas tol kastam, iaitu 1-800-88-8855. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×