Bukit Aman gempur kilang e-waste tanpa lesen, curi kabel TM

Bukit Aman gempur kilang e-waste tanpa lesen, curi kabel TM

Sebahagian barangan elektrik serta eletronik selain sisa barangan berjadual yang diekstrak sebuah kilang pengumpulan barangan elektronik (e-waste) di Telok Panglima Garang, Selangor bagi mengeluarkan elemen berharga seperti emas, plumbum dan uranium. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur sebuah kilang pengumpulan barangan elektronik (e-waste) di Telok Panglima Garang, Selangor kerana memiliki kabel elektrik hasil curi bernilai RM156,000 semalam.

Menerusi serbuan dari Bahagian Risikan/Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dilakukan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Tanah Kuala Langat, Tenaga Nasional Berhad serta Telekom Malaysia (TM).

Lebih mengejutkan, kilang dengan anggaran keluasan empat padang bola sepak itu dilengkapi hostel pekerja dan kedai runcit.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan/Operasi/Rekod (D4) JSJ Bukit Aman, Datuk C S. Shanmugamoorthy berkata, kilang berkenaan terletak di tengah ladang kelapa sawit sejauh enam kilometer dari jalan utama bagi kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa.

Menurut beliau, kilang yang beroperasi sejak 2019 itu  disyaki menjalankan aktiviti memproses dan membeli barangan elektrik serta elektronik selain sisa barangan berjadual untuk diekstrak dengan mengeluarkan elemen berharga seperti emas, plumbum dan uranium.

“Hasil serbuan, kita menemukan lima tan kabel milik TM bernilai RM156,000 yang tidak sepatutnya disimpan dan disyaki barangan curi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang merupakan pemilik premis berkenaan ditahan.

Kata beliau, turut ditahan seramai 49 warga asing membabitkan warga Bangladesh, Nepal, Myanmar dan China sebelum diserah kepada pihak imigresen.

“Tindakan turut diambil oleh MPKL kerana kilang itu menjalankan aktiviti berkaitan memproses sisa skrap dan wayar kabel terpakai tanpa lesen.

“Pihak MPKL telah mengeluarkan dua notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKL (2007) serta perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh hari dan sekiranya gagal, tindakan mahkamah akan diambil kepada pengusaha kilang tersebut,” ujarnya.

Kata beliau, JAS juga mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×