KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan program mengeratkan hubungan antara kakitangan dalam kalangan warga Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) di Tuaran dekat sini.
Program itu meningkatkan kerjasama serta tingkat kegembiraan para kakitangan PPIB,UMS dan pada masa yang sama ia juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan serta memperkukuhkan lagi semangat kerja berpasukan dan memupuk sifat persefahaman dalam kalangan warga PPIB.
Program itu dirasmikan oleh Dekan PPIB, Prof Madya Dr. Lai Yew Meng yang disertai Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Hubungan Antarabangsa) PPIB, Profesor Madya Dr. Mohd. Azri Ibrahim dan ahli jawatankuasa tertinggi PPIB, UMS yang lain.
Yem Meng berkata, dalam perasmian tersebut, keberhasilan sebuah kejayaan itu bukan terletak pada seorang individu yang cemerlang, tetapi terletak kepada kemampuan sebuah organisasi untuk bekerjasama sebagai satu entiti padu dalam membentuk sebuah pasukan.
“Program ini secara tidak langsung memberi kesempatan kepada kita untuk melupakan seketika rutin harian dan mewujudkan ikatan yang lebih erat dalam kalangan warga PPIB di mana kita bukan sekadar pasukan kerja, tetapi dengan kebersamaan sebagai sebuah keluarga yang harmoni,” ujarnya ketika dalam perasmian program tersebut.
Beliau berkata, tema ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ menggambarkan semangat perpaduan warga PPIB walaupun terdapat kepelbagaian identiti serta latar belakang yang berbeza, namun tetap bersatu dalam menyahut agenda PPIB yang dikongsi bersama.
“Pelaksanaan program ini merupakan salah satu strategi dalam menyahut seruan pengurusan atasan untuk mengadakan lebih banyak program yang dapat meningkatkan darjah kegembiraan dalam kalangan kakitangan.
“Semoga program ini dapat meninggalkan impak dan nilai-nilai positif kepada semua dan diterapkan dalam kehidupan seharian,”ujarnya.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Pelaksana Team Bonding PPIB dan semua pihak yang telah hadir bagi menjayakan program tersebut dan berharap agar jalinan silaturahmi dan kekeluargaan PPIB akan terus teguh dan berkekalan.
Pelbagai aktiviti dijalankan bagi memeriahkan lagi suasana program tersebut seperti acara sukaneka bola tampar pantai, pétanque, aktiviti berkumpulan, sambutan Hari Wanita peringkat PPIB, sambutan hari lahir kakitangan PPIB serta cabutan bertuah. – UTUSAN









