PETALING JAYA: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengenal pasti lebih 200 jalan tikus di seluruh negara yang menjadi laluan penjenayah untuk menyeludup dadah, barang kawalan dan hidupan liar.
Kebanyakan laluan tikus itu dikesan polis di pintu-pintu sempadan kawasan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah dan Kelantan namun ia berubah-berubah mengikut operasi serta kawalan pihak berkuasa.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, bagi kes penyeludupan dadah, ia berlaku di kawasan sempadan Malaysia-Thailand membabitkan kemasukan bekalan bahan larangan itu melalui Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Lazimnya, jalan-jalan tikus dijadikan sebagai lokasi menyeludup masuk dadah ke negara ini seperti melalui jeti haram dan kawasan paya bakau yang mana kawasan ini kurang menjadi tumpuan pihak berkuasa tempatan.
“Bagaimanapun, jumlah laluan tersebut berubah bila-bila masa mengikut operasi dan kawalan dilakukan penguat kuasa,” katanya.
Beliau mengulas pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kewujudan jalan tikus adalah antara punca Malaysia terus menjadi pilihan kartel dadah terutama di Asia Tenggara sebagai pusat transit bahan terlarang tersebut.
Saifuddin dilaporkan berkata, hal itu mengakibatkan indeks jenayah berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah tidak menurun berbanding kesalahan lain sehinggakan ramai rakyat Malaysia terjebak jenayah itu.
Menurut Mohd. Kamaruddin, kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia bukanlah satu isu yang baharu namun ia memberi implikasi negatif terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.
Katanya, corak kemasukan dadah banyak membabitkan jenis sintetik seperti amphetamine dan methamphetamine.
Malah, kata beliau, polis mendapati penyeludupan ganja meningkat dengan ketara kira-kira tiga hingga empat tahun lalu khususnya selepas Thailand meluluskan undang-undang penggunaan ganja sebagai dadah rekreasi.
“Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa mengambil kesempatan menyeludup masuk ganja ke negara ini kerana ia dapat dijual dua kali ganda lebih mahal kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata, isu penyeludupan dadah ke Malaysia telah lama menjejaskan imej negara, walaupun pelbagai usaha dilakukan namun perkara ini masih berlarutan.
“Penguatkuasaan semata-mata adalah sukar bagi membendung dan menghentikan penyeludupan dadah.
“Kerjasama dengan badan penguat kuasa lain sangat penting dalam memastikan kegiatan ini tidak terus berleluasa kerana kita berhadapan kelompok yang rakus, penyeludup yang canggih serta menggunakan pelbagai modus operandi yang di luar jangkaan kita,” katanya. – UTUSAN










